Dedak Ayam Kampung Warisan : Harian Metro

Hai Rozzaman Jalal
rencana@hmetro.com.my
Harian Metro

Keperluan menyediakan makanan ternakan yang tiada antibiotik dan tanpa bahan terlarang khususnya untuk ayam kampung diternak bagi memastikan tidak memberi kesan mudarat kepada manusia.

Penternakan ayam kampung dititikberatkan dari segi pemakanan apabila kira-kira 70 peratus daripada kos menternak adalah makanan haiwan berkenaan untuk peringkat tumbesaran.

Oleh itu, syarikat Marzuq Bayu Sdn Bhd menggalas tanggungjawab mengeluarkan Dedak Warisan tanpa antibiotik yang boleh memberi kesan tidak baik kepada manusia jika berlebihan dan tiada kawalan sebaliknya menggunakan inovasi terkini iaitu probiotik.

Pengarah Urusannya, Ahmad Najib Habeb berkata, ia memerlukan proses yang panjang untuk mengkaji formulasi dedak yang dikeluarkan terutama dari segi kandungan, kesesuaian dan keberkesanan kepada ternakan khususnya ayam kampung.

“Probiotik berkualiti sangat bagus bukan saja untuk tumbesaran ayam tetapi juga kualiti telur dan anak ayam. Ayam yang diberi makan dedak probiotik akan lebih sihat dan cepat membesar.

“Proses mengadun bahan dedak khas untuk ayam kampung itu dilakukan syarikatnya sebelum dihantar ke kilang untuk proses menjadikannya dalam bentuk pallet.

“Saya mencipta sendiri formulasi dedak ayam kampung itu selepas mengikuti banyak kursus termasuk di Bogor, Indonesia selain melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan keperluan pemakanan ternakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Dedak Warisan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri sempena Mini Agro Johor Daerah Tangkak 2017 di Dataran Ledang, Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi Johor Ismail Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom Abd Razak Minhat.

Hadir sama, Pegawai Daerah Tangkak Abdul ‘Alim Abd Shukor, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor Dr Aida Muhid dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor Ahmad Kamil Mohd Yunos.

Untuk membuat tempahan, sila hubungi 03 8940 1722 atau 017 543 4940 atau layari www.marzuqbayu.com