500 Tan Daging Hantu

500 Tan Daging Hantu

Hayati Ibrahim

 

Putrajaya: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kegiatan penyeludupan ayam, itik dan daging sejuk beku dari China yang dikhuatiri boleh menjejas kesihatan rakyat di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kementerian mengambil serius mengenai perkara ini tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

 

"Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dibawah kementerian akan melihat perkara ini dengan lebih lanjut kerana untuk semua perkara berkaitan makanan termasuk makanan sejuk beku mempunyai ketetapan yang perlu diikuti pihak pengimport.

"Mereka perlu mematuhi syarat termasuk suhu yang sepatutnya digunakan kerana jika suhu tinggi ia boleh menyebabkan kuman atau bakteria membiak sekali gus mengundang penyakit kepada pengguna,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan (NPANM) III 2016-2025 dan Nutrition Research Priority (NRP) di Malaysia untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) di sini, hari ini.

Muka depan Harian Metro melaporkan rampasan 18 kontena mengandungi lebih 500,000 kilogram (kg) ayam, itik dan daging sejuk beku yang diseludup dari China mengundang persoalan mengenai status halal bahan mentah itu kerana berkemungkinan ada yang pernah lolos dan berada di pasaran.

Sindiket penyeludupan antarabangsa yang dipercayai turut dianggotai warga tempatan itu cuba menyeludup masuk bahan mentah berkenaan tanpa permit, sijil halal dan sijil kesihatan melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor.

Bagaimanapun, cubaan mereka gagal apabila dikesan petugas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang melakukan pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:09 PM
http://www.hmetro.com.my/node/185536